May 12, 2012

Pesakit buah pinggang semakin bertambah


ISNIN, 7 MEI 2012




KUALA BELAIT - Seramai 1,356 pesakit buah pinggang tahap satu, dua dan tiga serta tahap awal peringkat empat di negara ini, telah dirujuk kepada doktor Renal, dan daripada jumlah itu seramai 150 pesakit sudah di peringkat akhir tahap empat dan tahap lima.

Apabila pesakit sudah sampai ke tahap empat dan lima, peluang untuk buah pinggang sembuh adalah rendah, bilamana pesakit telah mengalami kegagalan buah pinggang iaitu bila fungsi buah pinggang menurun kepada kurang daripada 10 peratus dan terdapat tanda-tanda, maka rawatan yang dapat diberikan hanyalah Terapi Penggantian Renal.

Pengarah Perkhidmatan Hospital Kementerian Kesihatan Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat, menyatakan jumlah pesakit yang sedang menjalani terapi penggantian buah pinggang di negara ini telah meningkat daripada seramai 524 pada tahun lalu kepada seramai 585 pada bulan Mac tahun ini, dan daripada jumlah itu seramai 34 orang telah menjalani pembedahan buah pinggang dan yang selebihnya menjalani rawatan dialisis, manakala seramai 491 orang rawatan hemodialisis dan 60 orang rawatan peritonil dialisis.

Dr Hajah Lailawati yang berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 Daerah Belait hari ini juga berkata, tema sambutan tahun ini, "Derma Buah Pinggang Untuk Kehidupan" adalah sebagai mesej bahawa menderma buah pinggang kepada pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang akan dapat memperbaiki kualiti kehidupan dan meningkatkan jangka hayat pesakit tersebut.

Menurutnya lagi ia juga memberikan kesedaran bahawa apabila seseorang telah mencapai tahap kegagalan buah pinggang, mereka akan melalui banyak cabaran kehidupan dari segi fizikal dan emosi, selain memerlukan pengorbanan dari keluarga dan yang paling besar ialah bila ada ahli keluarga yang sanggup menderma buah pinggang mereka untuk memperbaiki kehidupan orang yang mereka sayangi.

"Bagaimanapun tidak semua pesakit boleh menjalani rawatan pemindahan buah pinggang dan tidak mudah untuk mendapat penderma buah pinggang serta buah pinggang yang bersesuaian atau serasi.

"Setakat ini pesakit-pesakit bagi pembedahan pemindahan buah pinggang terpaksa di hantar ke luar negara bagi pembedahan seperti ke Singapura dan Malaysia, bagaimanapun usaha-usaha sedang diambil untuk menyediakan perkhidmatan itu di negara ini di masa akan datang apabila sudah mempunyai tenaga kepakaran yang mahir di bidang itu serta kemudahan yang diperlukan," ujarnya.

Majlis yang diadakan di Hospital Suri Seri Begawan itu merupakan kesinambungan daripada majlis sambutan yang diadakan terdahulu di Hotel Rizqun International Gadong, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan persediaan-persediaan dalam menangani penyakit tersebut.

No comments:

Post a Comment