May 12, 2012

Buru impian jadi arkitek di universiti baru


ISNIN, 7 MEI 2012

 Cik Shalina menyertai program bekerja sambil belajar di sebuah syarikat atas inisiatif sendiri demi minat terhadap bidang seni bina.



SINGAPURA - ATAS inisiatif sendiri, beliau menyertai program bekerja sambil belajar di sebuah syarikat kejuruteraan sivil selama sembilan bulan demi minat pada bidang seni bina.

Sepanjang program itu, Cik Shalina Yasuda Jamil, 20 tahun, diberi tanggungjawab membantu dalam beberapa projek mendapatkan tender, termasuk bagi projek membina bangunan baru Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) di Changi, yang bakal siap pada 2015.

Tanpa disangka Cik Shalina, SUTD bakal menjadi tempat beliau mencapai impian menjadi arkitek kerana lulusan Maktab Rendah Jurong itu antara 340 pemohon yang terpilih memasuki universiti itu apabila ia mula membuka pintunya tahun ini.

Mereka terpilih daripada lebih 4,150 pemohon, yang dinilai bukan berdasarkan pencapaian akademik saja, bahkan aspek lain, seperti kepimpinan, kreativiti dan minat mendalam terhadap reka bentuk dan teknologi.

Tahun pengajian SUTD, universiti keempat Singapura, bermula hari ini.

Dihubungi baru-baru ini, Cik Shalina berkata sebab utama beliau memilih SUTD ialah sukatan pelajarannya memberi lebih peluang kepada pelajar menyiapkan projek secara praktikal, berbanding universiti lain.

'Pembelajaran hands-on (amali) lebih seronok dan sesuatu yang baru bagi saya. Malah, ia dapat mempersiapkan saya bagi alam pekerjaan nanti dengan lebih baik,' ujar gadis kacukan Jepun dan Melayu itu, yang bercadang menyertai jurusan seni bina dan reka bentuk berkekalan.

Minat terhadap projek amali yang mendorong Cik Shalina menyertai program bekerja sambil belajar di syarikat Kajima Overseas Asia, yang memenangi tender bagi membina bangunan SUTD.

Di syarikat itu, beliau mempelajari cara membaca pelan, menggunakan sofwe seni bina dan reka bentuk dua dan tiga dimensi, seperti AutoCAD dan Google Sketchup. Para jurutera syarikat itu bahkan membawa beliau ke tapak-tapak bangunan untuk mempelajari tentang kejuruteraan sivil.

Cik Shalina bercita-cita membina bangunan pencakar langit serba canggih seperti Dynamic Tower, menara setinggi 80 tingkat, yang sedang dibina di Dubai, yang setiap arasnya boleh berputar dan bertukar-tukar bentuk.

No comments:

Post a Comment