Jun 30, 2012

Kadar kesuburan Melayu S'pura turut merosot


SINGAPURA - KADAR jumlah kesuburan (TFR) kaum Melayu, seperti kaum-kaum lain di sini, telah merosot sejak lebih 10 tahun lalu.

Malah, walaupun TFR kaum Melayu lebih tinggi daripada purata nasional, dari segi peratusan ia merosot paling banyak - lebih 35 peratus.

TFR kaum Melayu ialah 1.64 tahun lalu, berbanding 1.08 bagi kaum Cina dan 1.09 kaum India.

Pada 2000, TFR kaum Melayu ialah 2.54. Ini bermakna ia merosot 35.4 peratus dalam tempoh 2000 hingga 2011.

Bagi kaum India ia merosot 31.8 peratus, daripada 1.6 pada 2000, sementara TFR kaum Cina merosot 24.5 peratus, daripada 1.43 pada 2000.

Demikian menurut Kertas Kajian yang dikeluarkan Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD), Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Kertas Kajian itu antara lain membincangkan trend perkahwinan dan keibubapaan di Singapura dan pelbagai usaha bagi menangani kadar kelahiran yang semakin merosot.

Trend TFR yang merosot antaranya disebabkan lebih ramai warga Singapura memilih hidup membujang atau lambat berumah tangga.

Pasangan yang berumah tangga juga memilih mempunyai anak pertama pada usia lebih tua dan memilih tidak mempunyai ramai anak.

Di kalangan warga berusia 30-34 tahun, kadar yang memilih hidup membujang meningkat daripada 33 peratus kepada 44 peratus bagi kaum lelaki dan daripada 22 peratus kepada 31 peratus bagi kaum wanita dalam tempoh 2000 hingga 2011.

No comments:

Post a Comment