May 12, 2012

Ustaz Budak: Saya difitnah


ISNIN, 7 MEI 2012

 Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri




MACHANG - Setelah lima bulan, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri, 24, tampil memberi penjelasan dakwaan beliau menyamakan Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad SAW.

Shamsul Zaman yang baru pulang dari Yaman berkata, beliau tidak pernah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan Nabi, sebaliknya menerangkan kepimpinan dan pemerintahannya yang mencontohi Rasulullah SAW.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat semasa ceramahnya di Johor tiga tahun lalu itu dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.

”Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan Nabi, tetapi memberi contoh atau perumpamaan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Tok Guru sama seperti nabi. Ulama adalah pewaris Nabi, maknanya ulama ini pengganti Nabi tetapi bukan Nabi secara fizikal.

”Jika saya menyamakan Tok Guru dengan Nabi, maka sesatlah saya, kafirlah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Rawa di sini, semalam.

Akhir tahun lalu, rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang dikatakan melabelkan ulama dan Mursyidul Am Pas itu seperti Nabi itu disiarkan sebuah portal sebelum mendapat reaksi pelbagai pihak.

Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhubung ceramah itu dan meminta penyiasatan­ dilaksanakan bagi mengelak akidah umat Islam terpesong.

Dalam masa sama Mufti Kelantan, Datuk Syukri Mohamad meminta Syamsul Zaman bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan akidah.

No comments:

Post a Comment