Feb 19, 2012

'Tok Lang' hilang dikawal tiga lembaga hitam

AHAD, 19 FEBRUARI 2012




SUNGAI BARU - Seorang nenek kepada 30 cucu yang hilang dalam tempoh 24 jam pada Rabu lalu mengadu dilarikan dan dikawal oleh tiga lembaga hitam tidak dikenali sepanjang kehilangannya.

Johara Ahmad, 83, mendakwa, sebelum ditemui jirannya di tengah-tengah sawah dalam keadaan letih, dia dijaga oleh tiga lembaga yang sukar dikenal pasti sama ada lelaki atau perempuan.

Anaknya, Masitah Mat, 60, berkata, ketika kejadian dia keluar ke bank manakala Johara tinggal bersama adiknya, Zurina, 51, di rumah mereka yang terletak di Kampung Sungai Baru Tengah.

Menurutnya, kejadian itu diketahui apabila Zurina menghubunginya dan bertanyakan mengenai ibu mereka yang tiada di dalam rumah.

“Saya menyuruh Zurina mencari ibu di bilik air, namun tiada dan puas dia mencari di sekeliling rumah tetapi gagal ditemui.

"Saya segera pulang ke rumah dan kemudian terus mengajak adik saya untuk mencari ibu sehingga malam, namun tidak jumpa,” katanya kepada wartawan.

Masitah berkata, mereka kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Alor Janggus bagi mendapatkan bantuan mencari ibu. Dia berkata, keesokan harinya (Khamis) jiran mereka memberitahu Johara telah ditemui di kawasan lopak berhampiran sawah padi yang terletak di Kampung Parit Buaya, kira-kira 5 kilometer (km) dari rumahnya.

“Sewaktu jiran saya membawa ibu pulang, dia kelihatan agak letih mungkin disebabkan tidak tidur, makan dan minum semalaman.

“Ibu juga ada memberitahu saya, dia dijaga oleh tiga lembaga atau 'orang' sepanjang berada di kawasan sawah padi itu, namun tidak mengenali mereka,” katanya.

Johara yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Lang dalam kalangan penduduk kampung tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu sejak dia dijumpai kira-kira jam 11 pagi.

No comments:

Post a Comment