Oct 3, 2012

Pelajar meninggal selepas wuduk


Foto hiasan

PONTIAN - “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.

Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.

“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.

Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.

Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).

Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.

Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.

“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.

“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments:

Post a Comment