Sep 12, 2012

Tawar benih sawit tukar agama


Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz

KUANTAN  -  Masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk Islam jadi sasaran gerakan mubaligh Kristian dari luar negara yang dipercayai sudah menyusup masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesan kegiatan kumpulan itu termasuk taktik mereka yang mengumpan kumpulan sasaran dengan kebendaan.

"Setakat ini, tujuh hingga lapan kampung Orang Asli di negeri ini dikesan  sudah dimasuki kumpulan mubaligh dari negara jiran itu yang berusaha mengkristiankan saudara baru Orang Asli," katanya.

Menurutnya, kumpulan dipercayai dari Singapura, Filipina dan Indonesia itu turut menawarkan benih sawit dan getah kepada saudara baru Orang Asli.

Mohd Sahfri berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Yayasan Pahang sentiasa melakukan usaha berterusan bagi menangani kegiatan itu.

Katanya, selain menggiatkan dakwah di kampung Orang Asli, pihaknya juga menyediakan program khusus menjadikan saudara baru remaja sebagai anak angkat Yayasan Pahang melalui program Petama.

“Di samping menghantar pedakwah ke kampung Orang Asli, kita juga berusaha membawa mereka keluar dari penempatan di pedalaman. Ini kerana faktor geografi dan kemudahan asas yang masih dalam proses menyukarkan usaha dakwah dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment