Aug 12, 2012

Bapa bawa pulang anak yang dilarikan kekasih di Pulau Flores


Foto hiasan
JAKARTA/Kuala Lumpur - Seorang bapa dari Malaysia dengan penuh rasa syukur hari ini membawa pulang anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun, yang terpisah selama tiga bulan apabila dilarikan seorang pemuda ke sebuah kampung di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT) Indonesia.

Pada 9 Mei lalu, pemuda bernama Sukri, seorang pekerja Indonesia berusia 23 tahun, melarikan gadis itu dari asrama Sekolah Menengah Vokasional Keningau, Sabah.

Pasangan kekasih itu menempuh perjalanan lebih sebulan sebelum sampai ke kampung Geliting, Maumere, Flores di mana mereka berdua menetap.

Bapa gadis itu, yang bersetuju diwawancara oleh wartawan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan bagi melindungi anaknya yang masih bawah umur, berharap pengalaman pahit yang beliau lalui itu tidak berulang kepada ibu bapa lain di Malaysia.

Abdullah (bukan nama sebenar), yang masih tertekan dengan peristiwa menimpa anaknya itu, menceritakan beliau amat terkejut apabila pertama kali mendapat tahu anaknya Adrianna (bukan nama sebenar) hilang dari asrama Sekolah Menengah Vokasional Keningau, apabila dihubungi seorang guru kelasnya, selepas dua hari anaknya menghilang.

Ketika diminta menceritakan kisah yang berlaku itu, Adrianna yang kelihatan agak kebingungan setelah diserahkan oleh polis Indonesia kepada bapanya di sini semalam, berkata dia dan kekasihnya merancang rapi untuk dia lari dari asrama itu.

Pada 9 Mei, Adrianna memberi alasan dibawa pulang ibunya dengan meniru tandatangan ibunya di dokumen rekod asrama namun kepada rakan asrama dia memberitahu akan berpindah sekolah.

"Saya membawa semua baju dalam beg pakaian yang besar dan kawan-kawan bantu mengangkat beg masuk ke dalam teksi yang menunggu di dalam kawasan sekolah.

Pengawal sekolah juga melihat, dan saya keluar dari sekolah seorang diri dalam teksi itu," katanya.

Teksi membawa Adrianna ke Penampang di mana kekasihnya Sukri sedia menunggu dan dari sana mereka menaiki bas untuk perjalanan kira-kira 10 jam ke Tawau dan meneruskan perjalanan menaiki bot laju ke Nunukan, Indonesia dalam perjalanan yang hanya menempuh masa setengah jam.

Adrianna berkata semasa di Nunukan dia dan kekasihnya menunggu sebulan untuk kedatangan kapal penumpang yang akan membawa mereka ke Flores namun dalam tempoh dua minggu di situ mereka melangsungkan pernikahan siri (pernikahan rahsia) melalui seorang Ustaz dengan bayaran Rp5 juta.

Perjalanan ke Pelabuhan Maumere, Flores dengan menggunakan sebuah kapal besar lapan tingkat mengambil masa seminggu kerana kapal itu singgah berlabuh di Tarakan, Balikpapan, Pare-Pare dan Makassar, katanya.

Di Kampung Geliting, Adrianna tinggal di sebuah rumah kecil yang serba kekurangan, termasuk menggunakan dapur kayu api dan dia terpaksa membantu Sukri menjalankan kerja seperti mengupas asam jawa untuk dijual manakala Sukri pada masa-masanya memancing di pelabuhan untuk lauk makanan mereka.

Adrianna mula mengenali Sukri sejak tahun 2011 apabila lori gas yang dipandu pemuda itu rosak di depan rumahnya di Sabah namun Sukri datang semula ke rumahnya keesokan hari untuk meminta nombor telefon yang boleh dihubungi.

No comments:

Post a Comment