Jun 26, 2012

Saiful Apek bebas dadah




SAIFUL APEK bersyukur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan menggunakan dadah, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Saiful Apek atau nama penuhnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff.

Saiful Apek dan tiga rakannya didakwa menggunakan ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dengan mengemukakan lima alasan utama penghakiman.

Menurutnya, pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dengan mengemukakan isu berkenaan percanggahan tarikh di label botol sampel air kencing; penyimpanan sampel yang terlalu lama; mempunyai dua borang ujian pengesanan air kencing serta gagal membuktikan elemen kalibrasi dan kawalan kualiti dalam ujian pengesanan.

Mahkamah juga mendapati kegagalan pendakwaan mengemukakan botol sampel air kencing telah melonggarkan kes pendakwaan.

"Pendakwaan dengan ini gagal membuktikan kes (prima facie). Tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Sementara itu, Saiful Apek ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa terharu terhadap keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukti bahawa dia di pihak yang benar.

Beliau berterima kasih kepada peguam Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus yang banyak membantu serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

"Saya percaya kepada undang-undang dan perlembagaan. syukur rezeki tetap ada," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment