Jun 27, 2012

MOE semak program pendidikan seks



SINGAPURA - KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) menyemak program Pendidikan Seksualiti (SEd) yang ditawarkan kepada pelajar bagi menangani cabaran baru yang timbul akibat peredaran masa dan perubahan profil mereka.

Program SEd kini diperkaya dengan maklumat mengenai bahaya laman rangkaian sosial dan implikasi media baru selain mendidik pelajar mengenai hubungan sihat antara lelaki dengan wanita.

Mengumumkan demikian dalam sidang akhbar di bangunan Teachers' Network di Grange Road semalam, Pengarah Agung (Pendidikan), Cik Ho Peng, berkata dalam konteks hari ini, pelajar lebih terdedah kepada keadaan yang membentuk pemahaman, nilai dan sikap mereka terhadap seksualiti.

"Justeru, penting bagi pelajar menerima maklumat yang objektif dan boleh dipercayai di sekolah dan sokongan sepanjang setiap tahap pembangunan diri yang mula terdedah kepada pengaruh dan tuntutan sekitaran luar," kata Cik Ho Peng.

SEd disampaikan menerusi kurikulum formal di sekolah seperti modul Sains dan Pendidikan Sivik dan Moral (CME) dan juga menerusi program 'Growing Years' (GY) dan 'Empowered Teens' (eTeens).

Program GY, yang diperkenalkan pada 2000, diajar kepada pelajar daripada peringkat darjah lima ke prauniversiti.

Dengan semakan terbaru itu, program GY kini turut mengetengahkan isu-isu berkaitan pengaruh media, hubungan di alam siber dan hubungan romantik dan hanya boleh diajar guru SEd yang telah dipilih dan dilatih.

Program eTeens pula menggantikan program 'Breaking Down Barriers' (BDB) yang dimulakan pada 2007 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) dan MOE.

Ia melengkapi program GY dengan memberi pelajar maklumat mengenai penyakit jangkitan kelamin (STI) dan HIV, menerangkan kebaikan menggunakan perlindungan daripada perspektif kesihatan dan melengkapi pelajar dengan kemahiran hidup untuk mengatakan 'tidak' kepada seks di luar nikah.

Ibu bapa boleh memilih untuk mengeluarkan anak-anak mereka daripada mengikuti program SEd di sekolah.

Menurut MOE, bahan baru bagi program-program yang disemak itu telah diagih ke semua sekolah rendah dan ia akan mula melatih guru-guru dalam beberapa bulan mendatang.

Ia dijangka bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment