Apr 11, 2012

Yatiman: Keteguhan Ismail Haron boleh dicontohi


RABU, 11 APRIL 2012

Encik Yatiman (kanan) terharu ketika berdoa bagi Allahyarham Ismail Haron sebelum jenazahnya dikebumikan semalam.



SINGAPURA - PADA 2003, Allahyarham Ismail Haron pulang ke pangkuan keluarga di sini akhirnya setelah puas dipujuk mereka dan kawan-kawan.

Beliau meninggalkan Singapura pada 1976 untuk menyanyi dan bermastautin di Australia.

Menurut seorang kawan lama Allahyarham, mantan Anggota Parlimen, Encik Yatiman Yusof, arwah pulang ke Singapura dengan semangat teguh walaupun lesuh akibat 'pengalaman sukar' semasa merantau di negara orang.

'Namun, Allahyarham tidak patah semangat. Apabila kembali ke Singapura, kembanglah semula harapan bahawa beliau akan terus menyumbang kepada dunia seni hiburan Singapura.

'Keteguhan, kesungguhan dan kesediaannya untuk berkorban demi menegakkan seni tanah air kita boleh dicontohi seniman-seniman muda,' kata Encik Yatiman.

Menurut Encik Yatiman lagi, beliau dan adik ipar Allahyarham, Encik Mohamad Taib Ibrahim, serta sepupu Encik Taib, Encik Abdul Aziz Abu Talib, kedua-duanya 63 tahun, sama-sama berusaha membantu Allahyarham pulang ke sini.

'Susah nak pujuk dia balik, tapi alhamdulillah kerana setelah lama tinggalkan Singapura membawa diri, akhirnya arwah kembali juga,' ujarnya.

Menurut Encik Yatiman, beliau mengenali Allahyarham sejak kecil ketika sama-sama bersekolah di Winstedt Road.

Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, beliau berkata: 'Allahyarham bukan orang lain bagi saya. Dia kawan rapat saya. Kami juga bermain dan mengaji sama-sama dan daripada mengaji itulah suara Allahyarham yang luar biasa dan potensi sebenarnya dikenali.'

Encik Yatiman antara ratusan hadirin yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di rumah kakaknya di Jurong West Street 64 semalam, sebelum jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Abadi.

Rakan-rakan artis Allahyarham, termasuk M. Ramli, Ramli Sarip, Razzi M dan Jatt Ali, turut hadir. Mereka menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rendah hati dan 'cool'.

Menurut Jatt, baru-baru ini Allahyarham meluahkan hasrat membuat persembahan.

'Arwah menghubungi saya dan tanya berapa harga yang harus dia letak kalau dia nak buat persembahan. Itu satu penghargaan bagi saya kerana saya 'junior'nya dan dia tanyakan pendapat saya,' kata vokalis utama kumpulan Black Dog Bone itu.

Pelakon M. Ramli pula berkata beliau dan Allahyarham biasanya berbual hingga larut malam apabila berjumpa dan ke seberang Tambak bersama dua hingga tiga kali sebulan.

Malah, mereka sepatutnya pergi ke Johor bersama-sama semalam.

No comments:

Post a Comment