Mar 27, 2012

Anggota Majlis Agama Minta Rasuah dan Seks dibicarakan


SELASA, 27 MAC 2012



AYER KEROH - Seorang kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta wang rasuah dan habuan seks dari seorang wanita, dua tahun lalu.

Zullias Rasid Manan, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Sazali Omar.

Bagi pertuduhan pertama, Zullias seorang bekas kakitangan Maim berjawatan Pekerja Rendah Am, didakwa dengan niat telah memperoleh satu suapan daripada seorang wanita, Siti Aishah Mohd Yusoff, sebanyak RM1,500 sebagai upah melakukan satu perkara bertentangan dengan prinsip kerjanya.

Suapan itu didakwa adalah sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu kes tangkapan kesalahan di bawah Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di kawasan tempat letak motosikal di

belakang Dataran Pahlawan, kira-kira jam 6.30 petang pada 10 Januari 2010.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa meminta rasuah dalam bentuk perkhidmatan seks daripada wanita sama di sebuah bilik hotel di Ujong Pasir pada 13 Februari 2010.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili dua Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu Mohammed Heikal Ismail dan Mohd Sa’ad Shukor, mencadangkan supaya ikat jamin RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, setelah meneliti kes berkenaan, Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan sementara menantikan tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 27 April depan.

No comments:

Post a Comment