Mar 30, 2012

8,420 permohonan bagi flat baru dalam tempoh 24 jam

JUMAAT, 30 MAC 2012




SINGAPURA - PENJUALAN sekitar 8,000 flat baru di bawah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Penjualan Baki Flat (SBF) mendapat sambutan menggalakkan semalam.

Dalam tempoh 24 jam, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menerima lebih 8,420 permohonan bagi flat-flat itu yang terletak di beberapa estet seperti di Bedok, Bukit Batok, Bukit Panjang, Clementi, Geylang dan Toa Payoh.

Sekitar 4,351 permohonan diterima bagi 4,153 unit flat di bawah BTO sementara 4,069 permohonan diterima bagi 3,825 unit dalam SBF.

Bagi flat BTO, projek Clementi Ridges yang terletak antara Clementi Avenue 6 dengan Commonwealth Avenue West terbukti paling popular.

Perangkaan HDB menunjukkan permohonan tertinggi ialah bagi flat lima bilik di Clementi Ridges, dengan 477 permohonan berbanding 216 unit yang ditawarkan sementara 580 permohonan diterima bagi 312 unit empat bilik.

Harga flat di Clementi Ridges ialah antara $322,000 dengan $400,000 (tiga bilik), $438,000 hingga $576,000 (empat bilik) dan $550,000 hingga $679,000 (lima bilik).

Bagi SBF pula, flat-flat di Clementi, Bishan, Kallang Whampoa, dan Queenstown merupakan antara yang popular.

HDB sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah memperketatkan permohonan bagi flat-flat baru.

Mereka yang berubah fikiran selepas membuat bayaran pilihan (option fee) bagi membeli flat HDB akan dilarang daripada membeli flat BTO atau flat jualan semula dengan geran perumahan selama setahun.

Larangan itu turut merangkumi flat Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) dan kondominium eksekutif (EC).

Ketika dihubungi semalam, Pengarah Kanan Divisyen ERA Realty Network Pte Ltd, Encik Noor Haidi Abdul Malek, atau lebih dikenali sebagai Adi Mesti Jadi, berkata beliau tidak terkejut dengan permintaan rancak bagi projek BTO dan SBF.

'Bagi kebanyakan pasangan muda yang baru mahu melangkah ke alam rumah tangga, membeli flat jualan semula yang memerlukan komponen wang tunai di atas harga taksiran (COV) antara $5,000 dengan $20,000 merupakan satu beban besar.

'Oleh itu, flat baru yang ditawarkan di bawah projek BTO atau SBF merupakan pilihan yang lebih baik,' ujarnya yang berkata pasaran jualan semula agak sepi dan COV secara purata telah merosot sejak beberapa bulan yang lalu.

Penjualan lebih rancak juga disebabkan oleh pengumuman Menteri Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan, mengenai pelbagai langkah baru bagi membantu pelbagai kumpulan pembeli rumah seperti pembeli kali kedua.

Antara pembeli kali kedua yang membuat permohonan semalam ialah Cik Norazlina Wagiman, 33 tahun, yang memohon flat empat bilik di Yishun.

No comments:

Post a Comment