Mar 6, 2012

Satu hari cuti setiap minggu bagi pembantu rumah

SELASA, 6 MAC 2012



SINGAPURA - PEMERINTAH akan mewajibkan semua majikan memberi satu hari cuti setiap minggu kepada pembantu rumah masing-masing, bagi membolehkan mereka berehat daripada tugas harian.

Peraturan baru yang bakal dijadikan undang-undang itu berkuat kuasa bagi majikan pembantu rumah yang memiliki permit pekerjaan yang dikeluarkan atau diperbaharui mulai 1 Januari 2013.

Ini bermakna, pembantu rumah kini tidak terjejas dengan peraturan tersebut, kecuali apabila mereka memperbarui permit kerja masing-masing mulai 1 Januari 2013.

Mengumumkan rancangan itu semasa bahas belanjawan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia), Encik Tan Chuan-Jin, berkata peraturan itu membolehkan para pembantu rumah 'menikmati masa rehat yang amat diperlukan', dan menjadikan Singapura destinasi lebih menarik bagi para pembantu rumah warga asing datang bekerja.

Para aktivis telah lama menggesa agar cuti satu hari itu diwajibkan demi kebajikan golongan pembantu rumah warga asing, namun para majikan bimbang langkah sedemikian akan menjejas keperluan keluarga.

'Para majikan ini mungkin mempunyai warga tua atau anggota keluarga yang cacat yang memerlukan jagaan. Kami juga faham beberapa pembantu rumah lebih gemar bekerja pada hari rehat mereka untuk mendapatkan pendapatan tambahan,' kata Encik Tan.

Bagi menangani isu tersebut, Encik Tan memberi jaminan akan terdapat kelonggaran dalam peraturan baru itu, selagi ia dipersetujui kededua pihak.

Antaranya, majikan dan pembantu rumah akan diberi pilihan untuk memberi pampasan satu hari, dengan persetujuan dibuat antara kededuanya secara bertulis.

Para majikan juga boleh memanfaatkan geran pembantu rumah $120 sebulan yang diumumkan dalam Belanjawan 2012.

Geran itu tidak termasuk konsesi levi sebanyak $95 yang kini dinikmati majikan yang mempunyai anggota keluarga berusia lebih 65 tahun, anak kecil di bawah 12 tahun atau anggota keluarga yang cacat.

Majikan dan pembantu rumah juga harus sama-sama bersetuju tentang jumlah hari cuti sebulan dan jumlah pampasan yang dibayar sekiranya mereka bekerja pada hari cuti itu.

No comments:

Post a Comment