May 13, 2012

Saiful Apek tetap tuntut hutang David


SABTU, 12 MEI 2012




KUALA LUMPUR - PERKATAAN 'sedekah' yang diulang sebut oleh penerbit terkenal, David Teo sebanyak dua kali dalam sebuah program sensasi televisyen terhadap Allahyarham Bob Kuman mencetuskan polemik.

David yang sering mengeluarkan kenyataan celupar kali ini menyebabkan Saiful Apek hilang sabar. Sahabat baik Bob Kuman itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam laman sosial Twitter dan Facebook. Apek menyelar David dan menuntut tauke Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG) itu memohon maaf secara terbuka.

Tuntutan Apek itu mendapat pelbagai respons termasuk media arus perdana. David akur dengan kecaman Apek dan membuat satu kenyataan menerusi e-mel, Khamis lalu.

Masih tidak puas hati dengan bahasa David yang dianggap kurang beradab, Apek kemudian tampil dengan tuntutan-tuntutan sampingan termasuk memperjuangkan isu bayaran tertunggak berjumlah RM200,000. Dakwa Apek, bayaran itu sepatutnya dilangsaikan David hasil kutipan filem lakonannya dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali, lima tahun lalu.

Permohonan maaf David sebelum ini dianggap belum cukup untuk membasuh luka dan hina terhadap keluarga Allahyarham Bob. Tidak sahaja hutang lakonan dan pelaburannya, pelawak itu turut menuntut David membayar tunggakan puluhan artis serta kru yang lain.

"Tanggungjawab nombor satu saya ialah menuntut David supaya membayar hutang maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel tetapi menerusi media elektronik.

"Dia (David) keluarkan kenyataan menerusi media elektronik jadi permohonan maaf juga harus dengan media elektronik. Memang David tiada hutang duit dengan arwah Bob, dia cuma ada hutang maruah kepada arwah dan keluarga arwah. Itu sahaja," jelas Apek saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Difahamkan Apek bersama sekumpulan artis serta kru penggambaran akan mengadakan sidang media tergempar. Selain itu, Apek didakwa akan mengemukakan bukti-bukti penyelewengan pemilik rumah produksi gergasi itu.

No comments:

Post a Comment