May 19, 2012

Muzakarah: Syarat ketat Presiden Pas


SABTU, 19 MEI 2012

 Abdul Hadi memulakan perjalanan ke Sungai Tersat, Hulu Terengganu ketika Program
Kembara Tarbawi 3, semalam.




SHAH ALAM – Keraguan mulai berlegar. Apakah idea muzakarah dengan Umno yang dicetuskan Pas minggu lalu mampu jadi kenyataan? Ataupun episod kekeruhan dalam isu perpaduan Melayu/ Islam di negara ini akan berlarutan untuk beberapa dekad lagi, malah mungkin selama-lamanya?

Jika demikian, jelaslah tidak akan ada muzakarah yang sebenar melainkan hanya muza-keruh.

Kekeruhan bagi episod kali ini mulai diperlihatkan hanya selepas lima hari Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno pada sidang media di Kuala Lumpur 14 Mei lalu.

Di Marang, Terengganu, semalam, Abdul Hadi sebaliknya menunjukkan tembok yang begitu sukar dilepasi Umno bagi merealisasikan pelawaannya itu.

“Umno tidak ikhlas. Jika benar parti itu ikhlas mahu bermuzakarah dengan Pas, betulkan dahulu sistem pilihan raya. Selagi sistem pilihan raya tak dibetulkan, bagaimana Umno yakin mereka telah bersedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah?” katanya.

Beliau memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelmarin dipetik berkata bahawa Umno sedia menyahut ajakan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Abdul Hadi berkata, selagi sistem pilihan raya tidak dibersihkan, ia membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkepentingan Islam, atau dalam usaha mempertahankan Islam.

No comments:

Post a Comment