May 19, 2012

Hakim bebas tuduhan khalwat


JUMAAT, 18 MEI 2012




GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, di sini, semalam melepas dan membebaskan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Adam Tumiran dan isterinya, Nurul Ezani Mat Isa daripada tuduhan berkhalwat.

Hakim Syarie Othman Ibrahim dalam penghakimannya berkata, mahkamah terpaksa menolak tuduhan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan tiada asas relevan memandangkan Mahkamah Syariah Kota Tinggi, Johor sudah mengesahkan status perkahwinan Adam, 44, dan Nurul, 35, mengikut hukum syarak.

Menurutnya, berikutan pengesahan itu, mahkamah terikat dengan keputusan pengesahan berkenaan sekali gus melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan dan wang jaminan RM2,500 seorang yang dibayar dikembalikan.

Adam yang sebelum ini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memakai batik ungu manakala Nurul memakai baju kurung kuning dan tudung merah jambu hadir ke mahkamah seawal jam 8 pagi.

Pasangan itu sempat bersarapan bersama sebelum masuk ke mahkamah yang mula bersidang pada jam 9 pagi.

Adam dan Nurul Ezani yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Disember 2010, jam 2.05 pagi di Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri, di sini.

Adam didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Ezani didakwa mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka diwakili Ahmad Munawer Abdul Aziz dan Wan Faridulhadi Mohd Yusoff.

No comments:

Post a Comment